Klik Di Sini.

Julia Ziegler

Gadis jelita yang pernah membintangi beberapa drama seperti Noraishah, Aku Untuk Mu, Susuk, Bisikan Hati dan Cinta & Keadilan, mengakui pernah melalui peristiwa pahit dan bersyukur kerana dipanjangkan hayat untuk bergiat aktif sebagai anak seni.


Malah lebih mengasyikkan apabila filem terbaru lakonannya, Jangan Tegur arahan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre yang juga filem ke-28 terbitan Metrowealth Movies Production (MMP) turut menyulami kisah hidupnya suatu ketika dulu.

“Filem ini mempunyai banyak kaitan dalam hidup saya. Itulah sebabnya kenapa saya tidak boleh menolak tawaran berlakon filem ini. Ketika membaca dan meneliti skripnya saya sudah membayangkan jalan ceritanya mempunyai kaitan dengan peristiwa hitam yang pernah dilalui sebelum ini.

“Saya pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu, sehingga mengalami kecederaan teruk di tengkuk dan mengakibatkan parut di pergelangan tangan kanan. Malah mengikut cerita ibu, saya juga pernah dirasuk ketika kanak-kanak dulu.

“Begitupun, Alhamdulillah dan syukur kerana penggambaran filem ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Sebagai insan seni, Julia tidak terkecuali daripada dilemparkan gosip seperti kurang berbakat dalam lakonan selain bercinta dengan pengarah untuk mendapatkan watak dalam filem berkenaan.

Mengulas gosip bersama Pierre pula, Julia berkata hubungan rapat bersama pengarah filem itu tidak lebih daripada seorang kawan memandangkan sudah agak lama mengenali anak kepada pelakon veteran, Khatijah Tan itu.

“Dia (Pierre) rakan sekuliah adik saya. Sebelum mengenalinya lagi saya terlebih dulu mengenali ibunya. Memang Khatijah tahu kami berkawan rapat. Malah Khatijah merestui hubungan kami sebagai kawan. Buat masa ini memang kami tidak bercinta atau mempunyai hubungan istimewa.

“Soal saya hanya mahu keluar dan rapat dengan pengarah pula tidak timbul. Saya memang perlu rapat dengan pengarah kerana kerja. Sedikit sebanyak kami boleh berbincang selain mengetahui kelemahan dalam lakonan yang boleh saya perbaiki kelak.

“Tidak dinafikan sepanjang penggambaran bersama kru MMP memang saya seronok dan masih terbayang dan teringat suasana dan keadaan ketika sesi penggambaran berlangsung yang ternyata cukup menyeronokkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jangan Tegur mengisahkan Natasya yang pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu di hospital. Ketika koma itu dia bermimpi berjumpa dengan Baizura yang tidak pernah dikenali dan seakan-akan dia memerlukan bantuannya.

Selepas pulih daripada koma, Natasya sering diganggu makhluk halus dan secara kebetulan dia kini mampu melihat makhluk itu yang ingin mendampinginya seakan-akan mahu menyelesaikan sesuatu peristiwa misteri.

Mengulas perjalanan seninya, Julia dijangka memberi tumpuan kepada penggambaran drama yang mengisahkan bidang perubatan sebanyak 26 episod, Ampang Medikal terbitan Niche Filem dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

Ihsan Dari Harian Metro

No comments: